KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan sembilan lagi individu termasuk empat pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hadir memberi keterangan kepada polis hari ini.

Keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan '#Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di sini, pada Sabtu.

Kesemua mereka hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 12 tengah hari dan dilihat keluar hampir dua jam kemudian.


Bantu Siasatan | 47 peserta perhimpunan diminta tampil

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Tian Chua berkata, beliau bersolidariti bersama dengan anak-anak muda yang berani untuk bertindak demi mengubah nasib mereka walaupun terpaksa membahayakan diri.

“Apabila Parlimen ditutup, rakyat tidak ada saluran untuk menyuarakan pandangan mereka, tidak boleh membincangkan masalah negara.

“Saya bersama dalam perhimpunan itu untuk menunjukkan solidariti. Inilah anak muda yang kita mahu, walaupun ambil risiko namun mereka prihatin dengan nasib negara,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard semasa perhimpunan itu berlangsung.

“Ramai lagi yang akan disiasat selepas ini, kerana di dalam itu polis menunjukkan gambar lebih daripada 30 individu yang mungkin akan dipanggil. Yang sudah dipanggil lebih kurang 20 orang,” katanya.

Antara dipanggil adalah Naib Presiden Muda, Dr Thanussha Francis Xavier; serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Muda, Dr Teo Lee Ken dan Dr Mathen Nair.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 47 individu yang dikenal pasti sebagai peserta Himpunan #Keluar dan #Lawan pada Sabtu lalu dinasihatkan supaya tampil segera untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sehingga Isnin, seramai 11 individu yang menyertai perhimpunan itu tampil memberi keterangan.

Pada Sabtu, lebih 400 peserta perhimpunan itu dilaporkan berkumpul di jalan berhampiran Stesen Tren Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek sebelum berarak menghala ke Jalan Raja Laut.