Tujuh jalan di ibu negara ditutup pagi ini sempena Perhimpunan Solidariti Kedamaian untuk rakyat Malaysia di Dataran Merdeka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada para peserta menyertai perhimpunan itu.

“Kami telah kenal pasti tujuh persimpangan jalan yang akan ditutup di sekitar Dataran Merdeka, antaranya adalah Jalan Hishammuddin/Jalan Raja (Susur Bukit Aman).

“Kemudian Leboh Pasar Besar/Jalan Hishammuddin, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja, Bulatan Dato Onn/Jalan Raja (Gereja), Bulatan Dato Onn/Jalan Parlimen, Jalan Tun Perak/Leboh Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Tun Perak,” katanya ketika dihubungi menerusi program Buletin AWANI Khas sempena perhimpunan tersebut pagi ini.


Zulkefly menjelaskan, pemantauan dari masa ke masa akan terus dilakukan dan pihaknya hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya perlu.

“Kami telah menggerakkan 58 pegawai untuk mengawal selia keadaan trafik di sekitar ibu kota. Sehingga kini keadaan trafik masih terkawal,” katanya.

Perhimpunan Solidariti Kedamaian pada Sabtu adalah bagi rakyat Malaysia menzahirkan konsep keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama dan ideologi politik.

Ia diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lepas yang mengorbankan 50 orang, termasuk seorang remaja rakyat Malaysia.