Nama Ketua Menteri Melaka ke-12 dijangka akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional mengadakan pertemuan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Kompleks Seri Negeri petang tadi.

"Saya amat berpuas hati apa yang dimaklumkan kepada saya oleh tiap-tiap Adun yang menghadap Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil Yaakob. Keputusannya until futher notice dimana kita akan berikan maklum balas.

"Saya tidak tahu apakah keputusannya, itu terserah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, mudah-mudahan kita doakan Istiadat Angkat Sumpah esok (Jumaat) berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui media di Ayer Keroh.

Jelas Ab Rauf lagi, pertemuan diantara setiap Adun bersama Tun Mohd Khalil itu mengambil masa kira-kira 10 minit setiap seorang.

"Dalam temubual bersama Tun Mohd Khalil, seorang demi seorang Adun telah menyatakan hasrat dan perkara perlu dijawab.

"Kami menyatakan 15 wakil rakyat ini terdiri dari 13 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan dua wakil rakyat Adun Rembia dan Pengkalan Batu bersama menyatakan kita adalah kumpulan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri," kata Ab Rauf lagi.


Terdahulu, kesemua Adun dibawah Perikatan Nasional itu tiba di kediaman Tun Mohd Khalil Yaakob kira-kira jam 3.45 petang tadi menaiki sebuah bas persiaran.

Berselang beberapa minit, dua Adun Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad pula tiba turut mengadakan pertemuan bersama Tun Mohd Khalil Yaakob.