Periksa MPV polis: Anggota polis terlibat boleh diambil tindakan

Periksa MPV polis: Anggota polis terlibat boleh diambil tindakan
Mohamad Fuzi memakaikan pingat kepada anggota-anggota polis kontinjen Melaka pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di IPK Melaka, hari ini. --fotoBERNAMA
AYER KEROH: Anggota polis yang terlibat dalam insiden kekecohan apabila orang awam memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu lalu boleh dikenakan tindakan tata tertib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat tidak sepatutnya membiarkan orang awam menghalang tugas mereka.

Beliau berkata, sememangnya tidak wajar bagi orang awam untuk membuat pemeriksaan sedemikian dan bagi anggota polis yang terlibat pula, mereka tidak boleh bertolak ansur dalam isu berkaitan undang-undang.

Tegasnya, meskipun bilangan anggota polis ketika itu kecil, isu mereka bimbang berlaku kekecohan tidak seharusnya timbul kerana mereka boleh memohon bantuan daripada rakan setugas lain berikutan semasa PRK tersebut sebanyak 1,100 anggota bertugas.


"Di peringkat jabatan, kita akan ambil tindakan. Kerana, tidak wajar mereka membenarkan orang awam yang tiada apa-apa kuasa membuat pemeriksaan kepada pegawai penguatkuasa seperti PDRM.
"Jadi, kita akan bertindak tegas kepada mereka, kerana mereka tak boleh bertolak ansur dalam isu-isu yang berkait penguatkuasaan undang-undang," kata Mohamad Fuzi.

TONTON: Periksa MPV polis: Tiga lelaki direman tiga hari 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 331 anggota dan pegawai polis kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini.

Sabtu lalu, kecoh mengenai tindakan penyokong sebuah parti politik yang memeriksa sebuah kereta peronda polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau.

Kejadian menjadi tular apabila perbuatan itu dirakam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan menerima pelbagai kecaman.

BACA: Dua individu periksa MPV polis, ditahan

Kumpulan yang bertindak memeriksa MPV polis berkenaan mendakwa kenderaan itu membawa lebihan kertas undi PRK DUN Rantau.

Malah, sebaik but kereta itu dibuka, ia hanya mengandungi peti ubat dan kon keselamatan.

BACA: Tindakan tegas kepada mereka yang bergaduh, tahan kereta polis - Anwar

Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal terbabit didapati hanya melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.

Lima individu berusia lingkungan 20an-50an yang dikenalpasti terlibat dalam kekecohan itu juga berjaya diberkas pihak polis.