Masa yang sesuai untuk ditetapkan sebagai perintah berkurung adalah pada jam 11 malam dan anak-kanak yang didapati masih berada di luar kawasan rumah selepas waktu ini perlu dibawa ke tempat yang disediakan oleh kerajaan agar ibu bapa boleh membawa mereka pulang.

Menurut Profesor Undang-Undang, Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Awal, ini adalah langkah untuk mengurangkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan perintah ini memerlukan pemahaman dan kerjasama jitu dari pelbagai pihak.

“Selepas waktu 11 malam itu, kanak-kanak yang masih di luar rumah patut dibawa ke balai jika ditemui oleh pihak polis. Pihak polis kemudian akan memaklumkan kepada jabatan yang terlibat sebagai contoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ibu bapa.

“Langkah ini bukan sebagai langkah penahanan tetapi sebenarnya adalah langkah untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada meluangkan masa di luar rumah dari masa yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: Perintah berkurung: Remaja akan berontak? Bergantung...

Mengulas lanjut, Prof Aziah berkata pelaksanaan ini bagaimanapun memerlukan kerjasama jitu dari pelbagai pihak untuk memastikan ia berkesan.

“Untuk pastikan berjaya, ia memerlukan kerjasama dari kerajaan, pihak berkuasa dan ibu bapa. Jika tiada kerjasama jitu ia akan menimbulkan masalah.

“Pasti akan ada ibu bapa yang mengamuk mengapa mereka perlu ke balai untuk mengambil anak-anak walhal tiada kesalahan jenayah yang dilakukan.

“Justeru fahaman mendalam tentang pelaksanaan ini perlu diperincikan dan dibentangkan untuk memastikan semua pihak memahaminya,” jelasnya.

Mengulas mengenai kenyataan Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengkritik pelaksanaan perintah berkurung, Prof Aziah berkata pelaksananaan ini adalah sebagai langkah pembangunan diri buat kanak-kanak.

PBB menerusi garis panduan pecegahan kesalahan juvana sebelum ini melaporkan pelaksanaan itu sebagai meletakkan stigma negatif terhadap kanak-kanak.

Katanya, pelaksanaan perintah tersebut perlu digubal semula dan keengganan perintah berkurung tidak sepatutnya dilabelkan sebagai satu bentuk jenayah dan dijatuhkan hukuman.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Acryl Sani ketika dihubungi berkata pihak polis menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan dan cara pelaksanaan perintah berkurung terhadap remaja.