Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada hari ini akan dilanjutkan sehingga 29 Dis, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata perintah berkurung yang berkuatkuasa dari 6 petang hingga 6 pagi itu membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Abdul Rashid berkata dengan berkuatkuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dinasihatkan tidak keluar rumah dan mereka tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan.

"Pelaksanaan untuk meneruskan perintah berkurung itu bagi memastikan kawasan perairan tersebut tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta kedatangan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan.

Abdul Rashid berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna perairan serta mereka yang tinggal di kawasan daratan Esszone.

Menurutnya, perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, sekali gus menjamin keselamatan pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya. - BERNAMA