Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan sehingga 6 Mac ini

Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan sehingga 6 Mac ini
Perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan. - Gambar hiasan
LAHAD DATU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir Khamis akan dilanjutkan sehingga 6 Mac ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Beliau berkata, dengan berkuat kuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.
"Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan Esszone," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Rabu.

BACA: Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan hingga 20 Feb 

BACA: KPN sarankan perintah berkurung ESSZONE ditarik balik

BACA: ESSCom perlu dikekalkan, tambah baik - Komander ESSCom

Zaini berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya.

-- BERNAMA