Polis Kontinjen Sabah melanjutkan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang kini memasuki fasa ke-97 bermula esok sehingga 28 September depan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, lanjutan itu adalah berikutan fasa perintah berkurung sebelumnya tamat pada jam 6 petang Khamis mengikut Seksyen 31(1) Akta Polis 1967 dan selain memastikan tahap keselamatan di perairan negeri ini terus berada dalam keadaan selamat daripada sebarang ancaman.

Beliau berkata, keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ini antara lain bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan mereka di pulau-pulau di Pantai Timur Sabah.

"Oleh yang demikian, kita akan melanjutkan perintah berkurung di mana fasa sebelumnya tamat pada semalam dan akan disambung semula hingga 28 September hadapan," katanya, dalam kenyataan medianya, di sini, pada Khamis.

Untuk rekod, perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai 2014 itu meliputi jarak tiga batu nautika dari pantai dan membabitkan tujuh daerah di Esszone.

Bermula pada jam 6 petang hingga 6 pagi, ianya turut melibatkan tujuh daerah termasuk Tawau, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.