Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk memulakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 8 Mei ini, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, hanya sektor yang dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga sahaja dibenarkan meneruskan operasi pada 4 hingga 7 Mei ini.

Kon Yeow menjelaskan, tempoh empat hari bermula 4 hingga 8 Mei akan digunakan untuk menyediakan garis panduan menyeluruh yang lebih tersusun khususnya pada aspek penguatkuasaan.

"Malah tempoh empat hari ini juga adalah bagi membolehkan pihak syarikat, majikan, pekerja, ibu bapa dan lain-lain merancang pengoperasian serta pergerakan masing-masing.

"Ini termasuk penyediaan kelengkapan seperti pensanitasi tangan, penjarakan sosial, peraturan pemakaian pelitup muka dan sebagainya demi keselamatan bersama di premis-premis seliaan," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurut Kon Yeow, kerajaan Pulau Pinang menetapkan tiga fasa strategi pemulihan sebelum membenarkan PKPB dilaksanakan di negeri itu.

Fasa pertama bermula 4 hingga 7 Mei merupakan fasa persiapan yang mana semua sektor digalakkan untuk menggunakan tempoh ini untuk merancang, menyediakan dan melaksanakan SOP bagi pelaksanaan di tempat masing-masing.

"8 hingga 12 Mei merupakan fasa pembiasaan bagi sektor yang dibenarkan perlu melaksanakan SOP dengan tegas.

"Fasa ketiga bermula 13 Mei iaitu fasa pembukaan dimana semua sektor dibenarkan untuk beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP dengan tegas," katanya lagi.

Beliau menjelaskan, kerajaan Pulau Pinang menetapkan tiga matlamat dalam Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang iaitu pencegahan kesesakan orang ramai, pembiasaan pematuhan SOP yang diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pembukaan dan pemulihan sektor ekonomi secara berfasa.

"Waktu operasi di Pulau Pinang bagi semua sektor pada esok, 4 Mei 2020 masih sama. Tempoh masa operasi 8 Mei 2020 akan diumumkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk jenis kategori dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi," katanya.

Kon Yeow menyarakan agar majikan meneruskan kaedah 'Kerja Dari Rumah' dan waktu kerja anjal sepanjang tempoh ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’.

Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat Pulau Pinang bahawa PKP masih belum tamat sehingga 12 Mei 2020.

Katanya, rakyat Pulau Pinang boleh melayari laman web Penang Lawan COVID-19 untuk mengetahui sektor yang dibenarkan beroperasi.