Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan menyaksikan rata-rata warga ibu kota akur pada arahan dikeluarkan kerajaan.

Pemantuan Astro AWANI di pasar Chow Kit di sini pada pagi Rabu mendapati keadaan lengang dan tidak ramai pelanggan seperti hari-hari biasa.

Menurut salah seorang peniaga ayam, Fadil Isnin, 45, keadaan itu adalah yang terburuk pernah dialaminya sejak 20 tahun lalu.

"Selalu 300 hingga 400 kilogram ayam kami boleh jual sehari, tetapi hari ini tidak sampai 50 kilogram sahaja kami jual. Pengusaha restoran pun dah batalkan pesanan ayam, ada dua tiga sahaja yang masih beli dengan kami.

"Kalau satu restoran beli 20 ekor ayam, sekarang cuma lima ekor macam itu," jelasnya ketika ditemui hari ini.

Pengalaman yang sama dikongsi oleh peniaga sayur-sayuran, Taufik Hidayah, 19, yang akur dengan arahan kerajaan itu meskipun ia memberi kesan kepada perniagaannya.

"Macam ini lah peniagaan kami, memang orang kurang (tidak ramai) dari pagi tadi sehingga kini. Sebab ramai orang dah panic buying sejak dua hari lepas, kami kena buka perniagaan seperti biasa walaupun kurang orang," katanya.

Tinjauan mendapati, hanya segelintir pelanggan yang dilihat mengenakan topeng muka ketika membeli belah di pasar itu.

Turut kelihatan, anggota Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan pemantauan di sekitar pasar berkenaan untuk memastikan tiada sebarang operasi yang tidak berkaitan dengan sektor penting diumumkan sebelum ini.