Perjanjian Air Sungai Johor 1962 wajar dikaji semula dengan memasukkan beberapa perkara baharu termasuk penjualan air terawat dan bukan lagi air mentah sebagaimana berlaku kepada Singapura ketika ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, perkara itu dicadangkan pihaknya kepada Kementerian Luar sebelum ini untuk dipertimbangkan.

Beliau berpendapat, sekiranya Johor menjual air terawat, Pahang dan Negeri Sembilan boleh membantu menyalurkan air ke negeri tersebut bagi menampung keperluan domestik.

“Jika kita kaji dan naikkan tarif air mentah kepada Singapura, ia hanya penyelesaian jangka pendek.

“Selain itu, Malaysia bakal dilihat oleh antarabangsa sebagai sebuah negara yang tidak bertimbang rasa kerana menjual air mentah kepada negara jiran pada harga yang tinggi.

“Saya lihat penyelesaian jangka panjang ialah kita kaji perjanjian tersebut dan memasukkan perjanjian baharu dengan menjual air terawat kepada Singapura.

“Kita bina loji rawatan air di Johor dan ia memberi nilai tambah kepada negeri-negeri terlibat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, perkara tersebut memberi kebaikan kepada Malaysia dari sudut ekonomi selain menyediakan banyak bekalan air kepada Singapura.

“Tiada sebab untuk Singapura menolak kerana Malaysia juga mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan air ini,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara lain yang disarankan kepada Kementerian Luar ialah mewujudkan sebuah jawatankuasa antara Malaysia dengan Singapura dalam isu air.

Katanya, jawatankuasa itu boleh menetapkan margin keuntungan terkawal dalam soal penjualan air terawat.

“Kita nyatakan bahawa semakan semula harga air dibuat setiap lima tahun sekali,” katanya.

Piarapakaran berkata, Singapura tetap memerlukan Malaysia untuk mendapatkan bekalan air walaupun Perjanjian Air Sungai Johor 1962 berakhir pada 2061.

“Saya tidak fikir negara itu akan merawat air laut kerana kosnya cukup tinggi dan rakyatnya tidak bersetuju jika tarif air domestik negara itu meningkat.

“Cadangan pihak Awer kepada Kementerian Luar itu ialah rundinglah pelan jangka masa panjang dan situasi menang-menang,” katanya.