Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak gentar dengan cabaran Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk berdebat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sarawak, tetapi menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berunding mengikut undang-undang dan perlembagaan.

"Pendirian saya tegas dan saya tidak takut walaupun hilang jawatan, daripada saya melayan perdebatan yang tidak berfaedah," katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 1 Kuching di Penview Convention Centre (PCC) di sini hari ini.

BACA: Najib jelaskan pendirian kerajaan persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia

Pandikar Amin sebelum ini mengajak Abang Johari berdebat mengenai MA63, dan kenyataan beliau itu menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak sambil beberapa pemimpin negeri menyifatkan Pandikar Amin sebagai angkuh.

Pandikar Amin sebelum ini mengajak Abang Johari berdebat mengenai MA63, dan kenyataan beliau itu menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak . - Foto Astro AWANI

Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak akan tetap meneruskan rundingan peringkat tertinggi dengan kerajaan Persekutuan mengenai pengembalian kuasa dan hak-hak negeri Sarawak serta rakyat negeri ini seperti yang termaktub dalam MA63.

Menurut ketua menteri, dua minggu lepas ketika melakukan lawatan ke Sarawak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perjumpaan dengan anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak dan pada pertemuan itu, beliau sekali lagi menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan mengembalikan hak negeri Sarawak.

"Kita ada hak untuk berunding. Kita Sarawak ada maruah, kita ada cara kita untuk berunding. Kita hendak mempertahan hak kita," tegas beliau dan mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan.

Abang Johari sekali mengulangi janji beliau untuk meneruskan dasar bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk menuntuk kembali hak negeri ini.

Sebagai buktinya, katanya, kerajaan negeri telah menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti fail dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 serta hak-hak negeri Sarawak ketika ditadbir oleh kerajaan British.

"Apabila kita semak, didapati banyak hak diberi kerajaan British kepada orang Sarawak. Kita mendapat bukti mengenai hak kita mengenai minyak kerana kita masih ada Ordinan Perlombongan Minyak.

"Gabenor orang putih beri hak kepada Sarawak untuk Sarawak Oil Limited menerokai minyak dan hasil bumi ini," tambah beliau.

Beliau berkata Barisan Nasional Sarawak yang bertunjangkan PBB mempunyai asas perjuangan untuk berunding bagi mendapatkan kembali hak negeri ini, namun beliau memberi jaminan Sarawak akan terus berada di dalam Malaysia.

-- BERNAMA