Pemeteraian perjanjian penstrukturan semula air Selangor tidak bermakna krisis air di negeri itu sudah berakhir.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran berkata ini kerana Projek Loji Rawatan Air Langat 2 hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

"Pembinaan Loji Langat 2 sudah pun lewat dan akan siap pada tahun 2019. Ini bermaksud situasi ketidakcukupan bekalan air terawat dan permintaan yang semakin meningkat akan kekal sehingga projek itu siap," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pemeteraian perjanjian itu hanya membabitkan tindakan menstruktur semula syarikat-syarikat yang dahulunya syarikat konsesi, kini diambil alih satu syarikat milik kerajaan negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Bagaimanapun, rundingan dengan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih belum dimuktamadkan.

"Sebenarnya penstukturan semula masih dalam proses dan belum tamat lagi. Jadi masih terlalu awal untuk buat kesimpulan bahawa krisis air Selangor telah berakhir," katanya.

Dalam perjanjian berkenaan juga kerajaan negeri akan turut memberi fokus dalam mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) menerusi pembinaan infrastruktur baharu.

Tambahnya, semua ini perlu diteliti dan kelulusan perlu diberi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dahulu sebelum projek-projek ini dapat dilaksanakan kerana semua proses ini akan mengambil masa.

Justeru, katanya risiko krisis air berulang di Selangor masih wujud dalam tempoh 5 tahun ini, sekiranya usaha mitigasi tidak diambil segera.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap tiada lagi berlakunya catuan air selepas pemeteraian perjanjian penstrukturan semula air Selangor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Paul Selvaraj berharap perjanjian itu akan menjamin aliran bekalan air yang stabil dan boleh diharapkan pengguna.

"Saya rasa adalah tidak adil sampai sampai sekarang pengguna masih berdepan masalah pencatuan air. Kita berharap melalui persetujuan ini sebarang halangan atau perkara yang akan melambatkan proses itu akan diatasi."

"Dalam isu ini kami berharap kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan akan memberi keutamaan kepada kebajikan pengguna." katanya.

Tambah beliau, dengan populasi yang semakin bertambah di Lembah Klang, maka perlu ada rancangan jangka panjang untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.