Perjawatan bagi kemasukan anggota polis yang bakal ditempatkan di sekitar daerah Bagan Datuk akan disegerakan bagi membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di daerah ke-12 di Perak itu.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan turut berkata, buat masa ini pengambil alihan tanah seluas enam hektar telah selesai dan kerja-kerja pembangunan akan bermula tidak lama lagi.

"Kami kini sedang memperkemaskan senarai bagi dua balai iaitu Balai Polis Hutan Melintang dan Balai Polis Bagan Datuk untuk penambahan anggota, dan ia juga bagi mematuhi keperluan penugasan sementara menunggu IPD Bagan Datuk itu siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis serah tugas ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak yang baharu berkuatkuasa hari ini di IPD Hilir Perak di sini.

Mohd Marzukhi, 41, merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak menggantikan ACP Wan Hassan Wan Ahmad, 50, yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard.

Mohd Marzukhi turut dinaikkan pangkat daripada Superitendan kepada ACP manakala Wan Hassan turut dinaikkan pangkat daripada ACP kepada SAC berkuat kuasa hari ini (Isnin).

Dalam pada itu, Hasnan dalam ucapan berkata sepanjang 14 bulan di Hilir Perak, Wan Hassan telah menjalankan tugas dengan cemerlang apabila kadar jenayah di daerah ini mencatat penurunan sebanyak 14 peratus.

"Saya kagum dengan prinsip dan komitmen beliau jalankan tugas sepanjang menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak. Malah kecemerlangan Wan Hassan turut mendapat pujian daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setiap kali program Timbalan Perdana Menteri di Hilir Perak," katanya.

Sementara itu, Mohd Marzukhi berazam untuk melaksanakan tugasnya sebaik mungkin di daerah ini.

"Terima kasih kepada Ketua Polis Negara kerana beri kepercayaan kepada saya menerajui sebuah daerah. Setakat ini saya hanya ditugaskan di sekitar Lembah Klang sahaja. Ini merupakan kali pertama keluar,” katanya.

Dalam majlis itu, turut diadakan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Hilir Perak antara Sarihah Jusoh dengan Ong Poh Lin Abdullah yang baru dilantik.