Dewan Rakyat hari ini diberitahu alasan perkahwinan bawah umur sebagai jalan keluar daripada masalah sosial dan kemiskinan bukanlah penyelesaian dan persepsi tersebut harus diubah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali dalam hal berkaitan kanak-kanak dan perlindungan hak golongan itu merupakan keutamaan.

"Selain tindakan pindaan undang-undang yang sedang diambil, kerajaan melaksanakan program pembasmian kemiskinan, meningkatkan kesedaran ibu bapa dan penjaga bagi memastikan kanak-kanak tidak tercicir (dari) alam persekolahan sehingga 17 tahun.

"Kementerian bertegas bahawa kanak-kanak perlu diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kementerian akan meneruskan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan ke arah pencapaian matlamat perlindungan kanak-kanak," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu usaha penambahbaikan bagi memperketatkan kebenaran kahwin bawah umur dan kesediaan kerajaan meminda akta berkaitan sedia ada bagi menghalang segala bentuk perkahwinan bawah umur pada masa hadapan dalam sesi soal jawab di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan turut bercadang membentangkan Rang Undang-Undang bagi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) dan Akta 164 selewat-lewatnya pada penggal kedua sidang Dewan Rakyat tahun hadapan.

"Bagi perkahwinan bawah umur orang bukan Islam pula, memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 2019.

"Pindaan ini antaranya akan mengandungi keperluan untuk mengemukakan laporan sosial, laporan kesihatan dan laporan daripada Polis Diraja Malaysia bagi permohonan perkahwinan bawah umur di bawah Akta 164 yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Dr Wan Azizah berkata terdapat beberapa negeri yang telah mengambil langkah proaktif dan kreatif dalam pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung isu ini.

"Sebagai contoh di negeri Kedah, selain perlu mengemukakan laporan sosial bagi pasangan yang ingin berkahwin di bawah umur mereka juga perlu menghadirkan diri ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas berkahwin untuk sesi kaunseling bagi tujuan pemantauan, sehingga mereka berumur 18 tahun.

"Selangor juga yang telah sekian lama mempunyai persefahaman bersama JKM negeri, memastikan bahawa Laporan Sosial yang dikemukakan bagi permohonan perkahwinan bawah umur perlu mengambil kira aspek latar belakang, pendidikan, sosioekonomi dan keadaan tempat tinggal kanak-kanak tersebut," katanya.