Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata sebarang isu berbangkit berkenaan perceraian bagi perkahwinan yang didaftarkan secara sivil, perlulah diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu,

Menurut Perdana Menteri, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] yang merupakan undang-undang keluarga bagi perkahwinan dan perceraian pasangan bukan Islam akan dipinda berpandukan kepada tiga prinsip utama.

Menurutnya, isu ini memastikan tuntutan-tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak hingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata prinsip kedua perlu berpaksikan kepada prinsip keadilan sejagat, iaitu pindaan akta tersebut akan memberikan peluang kepada pasangan untuk menyelesaikan isu perkahwinan sivil di Mahkamah Sivil.

"Ia (melalui prinsip ini) membolehkan mereka meneruskan kehidupan masing-masing seperti untuk berkahwin lain," jelasnya.

Kabinet juga turut bersetuju supaya cadangan pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) diselaraskan dengan segera, kata Perdana Menteri.

Ketika membuat pengumuman yang menyentuh perihal kebajikan wanita dan anak-anak semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita 2016 di sini hari ini, beliau berkata pindaan akta itu dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen pada Oktober, menerusi Kementerian Dalam Negeri.

Menyentuh prinsip ketiga pula, Najib berkata percanggahan yang berlaku antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbangkit daripada pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan dapat diselesaikan dan seterusnya kelompangan perundangan dan pertindahan peruntukan undang-undang sedia ada dapat diselesaikan.

Kesal dengan peningkatan kes jenayah ke atas kanak-kanak, perdana menteri turut mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas untuk mengkaji dan meneliti isu berkaitan jenayah seks terutama jenayah rogol membabitkan kanak-kanak.

Perdana Menteri berkata pasukan petugas tersebut akan dipengerusikan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dianggotai oleh pihak-pihak yang berkenaan.

"Saya teramat kesal, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan masalah gejala sosial yang melibatkan penganiayaan dan perkosaan kanak-kanak.

"Seumpamanya, baru-baru ini, terdapat kes membabitkan seorang warganegara asing yang telahpun dijatuhkan hukuman akibat bersalah mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak, termasuklah daripada Malaysia," katanya.

Turut hadir pada sambutan Hari Wanita 2016 bertemakan "Sepadu Usaha: Tiada Wanita Ketinggalan" ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim