Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mendesak supaya sejarah mengenai bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng dipadamkan dan mayatnya tidak harus dibawa pulang ke Malaysia.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata Chin Peng bukan hanya sekadar komunis tetapi merupakan seorang penjenayah.

"Sama ada mayatnya patut dibenar untuk dibawa pulang, pada hemat saya, tidak perlu.

"Kalau masa hidup pun kita tidak setuju Chin Peng dibenar pulang ke Malaysia, maka selepas mati pun, mayatnya tidak patut diizin untuk di kebumikan di Malaysia," katanya menerusi kiriman SMS kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda sepatutnya memperingati tokoh lain seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin berbanding Chin Peng.

"Sejarah manusia seperti Chin Peng mesti dipadamkan daripada sejarah daripada diketahui oleh rakyat terutama generasi muda.

"Ada juga sejarah peristiwa hitam yg patut diketahui oleh masyarakat untuk pengajaran, tetapi tidak sejarah penganas dan penjenayah yang merosakkan negara.

"Elok lupa sajalah Chin Peng ini," katanya.

Bangkok Post hari ini melaporkan Chin Peng, 90, meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 6.20 pagi di sebuah hospital di Bangkok.

Beliau yang tinggal dalam buangan di Thailand dan tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia.

Chin Peng mengetuai pemberontakan gerila PKM dan berjuang menentang British dan tentera Komanwel untuk menubuhkan sebuah negara Komunis bebas.

Awal bulan ini, Pengerusi DAP Karpal Singh meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air.

Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini.

Gesaan itu bagaimanapun dibantah keras oleh Perkasa yang berpendapat bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas keganasan yang dijalankan sebelum ini.