Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor mengecam kenyataan dibuat Pengarang Mingguan Katolik, Herald, Lawrence Andrew yang menegaskan gereja katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata kenyataan Lawrence Andrew itu merupakan satu episod hitam yang boleh mengeruhkan hubungan dan meningkatkan lagi prasangka di antara penganut Islam dan Kristian di negara ini.

Katanya, jika benar Paderi itu membuat kenyataan tersebut ia jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab beliau dan tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Akibat kenyataan paderi itu yang disifatkan tidak bertanggungjawab, Perkasa Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Lawrence Andrew.

"Kami (Perkasa Selangor) membuat laporan polis terhadap Lawrence Andrew, demi menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negara ini yang telah lama terjaga.

"Kami juga membuat laporan polis supaya pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam (Jais) dan polis mengambil tindakan terhadap Lawrence Andrew,

"Lawrence Andrew perlu ingat, Sultan Selangor sudah bertitah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Selain itu, Perkasa Selangor turut mengecam kenyataan Lawrence Andrew seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insider bahawa agama Kristian tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam dengan alasan ia bertentangan dengan perlembagaan.