Kerajaan bersetuju mengugurkan perkataan 'mandatori' dalam jenayah membabitkan kes penyalahgunaan dadah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menurutnya, selama ini, apabila seseorang itu didapati membawa dadah dalam jumlah tertentu, mereka akan dikenakan 'mandatory death sentence', dan undang-undang ini katanya, mengenepikan hak hakim dan kuasa mahkamah.

"Apabila mereka didapati membawa dadah sekian banyak, maka mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori, iaitu, kuasa hakim kita ketepikan, bahkan undang-undang menidakkan hak hakim untuk menyatakan hukuman.

"Kita (kerajaan) hapuskan perkataan mandatori. Hakim boleh membuat pilihan sama ada hendak kenakan hukuman mati atau penjara, tetapi tidak boleh kurang daripada 10 tahun,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan mendapati masalah jenayah di Malaysia merungsingkan dan antara jenayah itu ialah penyalahgunaan dadah.

"Untuk ini kita ambil satu pendirian yang tegas (kenakan hukuman berat), walaupun kita didesak supaya menggugurkan perkataan mati mandatori," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat bahawa kebajikan anggota polis tidak mencapai tahap yang baik pada masa ini.

“Oleh itu Kementerian Kewangan akan membekalkan wang yang cukup untuk memperbaiki rumah-rumah dan berek yang diduduki pegawai dan anggota polis,” katanya.