Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak akan melanjutkan tempoh pemutihan kepada mana-mana majikan yang masih belum mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tempoh itu akan tetap diberikan selama sebulan sahaja, iaitu bermula 1 hingga 31 Julai ini.

“Tiada lanjutan (tempoh pemutihan). Sepanjang kita melaksanakan selama 10 tahun Ops Kesan ini, kita tidak pernah melanjutkan tempoh pemutihan.

"Jadi, tempoh pemutihan selama sebulan adalah peluang kepada mereka, dan kita tidak akan melanjutkannya,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Perkeso di perkarangan Menara Perkeso di sini hari ini.

Jelasnya, mana-mana majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dan gagal berdaftar akan diambil tindakan sewajarnya.

“Selepas pada tempoh pemutihan, jika mereka masih gagal untuk hadir mendaftar dan mencarum, Perkeso akan menggembleng 500 anggota pada bulan Ogos, bermula 1 Ogos, untuk melawat dan mengenal pasti majikan-majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum.

“Jika mereka didapati masih belum mendaftar dan mencarum, kita akan mengeluarkan kompaun. Dan jika masih gagal, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” ujar Mohammed Azman.

Tempoh Pemutihan dan Ops Kesan dilakukan setiap tahun bagi memberi peluang kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum untuk secara sukarela hadir ke mana-mana 53 pejabat Perkeso.

BACA: Perkeso buru majikan gagal daftar, carum pekerja menjelang Ogos

Justeru, beliau menyeru majikan terlibat agar mengambil peluang bertindak segera sebelum sebarang tindakan dilakukan.

“Ini adalah langkah untuk semua majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka supaya hadir secepat mungkin dalam bulan 7, atau antara 1 Julai hingga 31 Julai, secara sukarela.

"Jika tidak, mereka akan dikompaun. Kita harap semua akan hadir untuk mendaftar dan mencarum dengan segera,” tambahnya.

Setakat ini, 438,000 majikan direkodkan telah mencarum Perkeso.

Pada Jun lalu, Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran berkata Perkeso akan melancarkan Ops Kesan bermula 1 Ogos bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan membuat caruman untuk pekerja masing-masing.

Katanya, hingga Disember 2017, seramai 6.8 juta pekerja aktif yang sedang bekerja dengan 435,801 majikan, berdaftar dengan Perkeso di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, dianggarkan sebanyak 10 peratus majikan masih gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.