Beberapa kawasan pedalaman Sarawak akan menerima perkhidmatan bank bergerak serta ejen institusi kewangan pada awal tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuan Jaafar, berkata setakat ini kawasan yang disenaraikan dalam pelan awal pelaksanaan tersebut adalah Sungai Asap, Belaga, Sebauh dan Tatau.

“Perkhidmatan yang disediakan oleh bank bergerak ini termasuk pembukaan akaun, transaksi akaun simpanan, Tabung Haji, pendaftaran perbankan Internet, bayaran bil setempat, perkhidmatan kiriman wang, ar-Rahnu on-wheel dan bayaran balik pembiayaan.

“Dengan saluran ini, penduduk setempat akan memperolehi akses perkhidmatan kewangan dengan lebih mudah,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelasnya lagi, kemudahan perbankan tersebut akan dilaksanakan melalui Bank Rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dalam soalan tambahannya kepada Wan Junaidi, berharap inisiatif ini dapat diperluaskan bukan sahaja di kawasannya, malah ke tempat lain yang sukar diakses.

“Satu cadangan yang baik untuk menubuhkan bank bergerak. Jadi kalau boleh, bukan hanya di Sungai Asap, tetapi juga di Long Busang, Long Urun, Long Tanyit, Data Kakus, Punan Bah, Sungai Gat, Merit dan Hilir Belaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sama di Parlimen pada Rabu.