Perak akan memperkenalkan perkhidmatan bas pelancongan berkonsep bumbung terbuka atau Hop-On Hop-Off (HoHo) di Ipoh, bulan depan.

Ia sekali gus menjadikan Perak negeri ketiga selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang memperkenalkan perkhidmatan bas itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya kini dalam peringkat perincian beberapa aspek termasuklah harga tambang, laluan perjalanan dan infrastruktur.

Menurut beliau, bagi fasa pertama, lapan laluan telah dikenal pasti, antaranya Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh, bangunan Octagon, Ipoh Parade, Little India dan Masjid Dato Panglima Kinta.

"Bagaimanapun laluan ini mungkin ditambah selepas kita lihat pengoperasiannya nanti dan kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan serta Spad (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel kesedaran pelancongan di Akademi GIT di sini, hari ini.

Kar Hing berkata, perkhidmatan bas itu bukanlah tarikan tunggal semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk menempatkan kemudahan lain di laluan-laluan terlibat seperti pemandu pelancong bagi membawa pengunjung ke lokasi menarik.

Menurut beliau, selain memberi faedah kepada komuniti lain, penyediaan bas HoHo itu juga dapat mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke Ipoh yang menyebabkan laluan sesak.

"Untuk permulaan, kita cadangkan bas HoHo ini beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, lain-lain perincian mengenai perkhidmatan ini akan saya umumkan seawalnya mingu depan," katanya.

Beliau menambah, sekiranya perkhidmatan bas ini mendapat sambutan, ia mungkin diperluaskan ke daerah-daerah lain.