Perkhidmatan kereta api secara terus dari dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan dijangka sedia dibuka semula pada pertengahan tahun hadapan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam Waktu Pertanyaan Menteri pada sidang Parlimen pada Selasa.

Jelasnya lagi, projek membaik pulih perkhidmatan itu (Tumpat-Gemas) yang rosak akibat dilanda banjir pada 2014 dijangka menelan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM778 juta.

"Kerajaan sedang memberi keutamaan kerosakan rangkaian kereta api di Tumpat termasuk kerosakan akibat banjir 2014. Antara kerosakan, tanah runtuh, landasan terhakis dan landasan kereta api yang dihanyutkan.

"Di kawasan Manik Urai, Dabong dan Sungai Perah, kerajaan telah peruntukan dana RM874.7 juta di sektor Pantai Timur. Dana berjumlah RM778 juta ringgit projek membaik pulih landasan Gemas ke Tumpat dan RM96.7 juta. Keseluruhan kerja membaik pulih dijangka siap pertengahan tahun 2021," katanya.

Jelasnya lagi, ketiga-tiga projek pemulihan itu kini siap di antara 75 hingga 90 peratus.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dari Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai punca kelewatan pembaikan perkhidmatan kereta api secara terus dari Tumpat ke Gemas, yang sebelum ini sepatutnya dijangka siap tahun lalu.