Perkhidmatan kontraktor pembinaan Hospital Petra Jaya, Sarawak, ditamatkan ekoran kegagalan menyiapkan kemudahan rakyat yang sepatutnya siap pada 29 November 2016.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu selepas meneliti semua laporan serta maklumat daripada pelbagai pihak berkaitan.

"Beberapa mekanisme pengambilalihan oleh JKR dan bank sudah dibuat.

"Jadi kini pihak berkepentingan semua ada di situ, JKR, ICU, Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak kami sebulat suara kami tidak tak boleh lagi tangguhkan.

"Ia isyarat kepada kontraktor lain bahawa kami tidak lagi boleh terima kerja seburuk ini kerana rakyat akan tanggung kelewatan ini," katanya semasa sidang media selepas memberi ucap tama Forum Penjagaan Kesihatan 2018 di sini, hari ini.

Forum Penjagaan Kesihatan 2018 merupakan anjuran Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), dengan tema "Mengekalkan masa depan penjagaan kesihatan, pemerkasaan pengguna hari ini".

Forum empat sesi itu meliputi beberapa bidang berkaitan kesihatan yang memberi penekanan dan isu masa depan penjagaan kesihatan, teknologi, persediaan serta industri pelancongan kesihatan.

Antara panel forum adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Jacob Thomas.

Dalam isu Hospital Petra Jaya kata Dzulkefly, kontraktor berkenaan telah diberi lanjutan masa sehingga hujung tahun ini namun dilihat tidak berkemampuan menyiapkan dengan kemajuan projek hanya 34.5 peratus.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly memberitahu, kementeriannya memantau sekurang-kurangnya 23 'projek sakit', termasuk pembinaan hospital dan klinik di seluruh negara.

Tegasnya, projek terbabit diklasifikasikan sebagai 'sakit' atau 'merah' kerana mengalami kelewatan 20 peratus dalam aspek kemajuan pembinaan, berbanding tempoh ditetapkan.

Beliau juga akan meninjau semua projek terbabit dalam tempoh satu hingga dua minggu ini, untuk melihat sendiri satu persatu projek bermasalah itu.