Beberapa perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih mengalami gangguan perkhidmatan ekoran kegelinciran tren kargo di kilometer 386.00 di antara Bank Negara ke Kuala Lumpur pada jam 3.11 pagi tadi.

Perkhidmatan KTM Komuter yang mengalami gangguan adalah laluan Sungai Gadut-Rawang (perkhidmatan akan tamat di Stesen KL Sentral), laluan Rawang-Sungai Gadut (perkhidmatan akan tamat di Stesen Kepong sahaja dan berpatah balik), laluan Batu Caves-Port Klang (perkhidmatan akan tamat di Stesen Sentul sahaja dan berpatah balik), laluan Port Klang-Batu Caves (perkhidmatan akan tamat di Stesen KL Sentral sahaja dan berpatah balik).

Tambah KTM, tiada perkhidmatan tren yang beroperasi dari dan ke stesen Kuala Lumpur, Bank Negara, Putra, Sentul, dan Segambut.

Antara perkhidmatan KTM Intercity yang mengalami gangguan adalah Tren No. 1–Ekspres Rakyat (Butterworth-Singapura), Tren No. 2 – Ekspres Rakyat (Singapura-Butterworth), Tren No. 20–Ekspres Langkawi (KL Sentral-Hatyai), Tren ETS (KL Sentral-Ipoh), dan Tren ETS (Ipoh-KL Sentral).

Menerusi satu kenyataan, KTMB berkata kerja-kerja membaikpulih landasan sedang dijalankan dan satu landasan dijangka siap pada jam 1 tengahari Sabtu.

Kedua-dua landasan dijangka siap sepenuhnya pada Ahad.