Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tergendala selepas kereta api kargo tergelincir, akan kembali beroperasi seperti biasa Selasa depan.

Menurut Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, Mahendran R. Supiah, setakat ini, sebanyak 20 peratus kerja baik pulih telah dilakukan.

"Hanya 80 peratus lagi kerja baik pulih yang perlu dilakukan. Malah, kerja-kerja mengalihkan kabel landasan akan diteruskan menggunakan tenaga kerja sedia ada," katanya selepas dihubungi Astro Awani.

Mahendran bagaimanapun enggan mengulas arahan penggantungan operasi perkhidmatan kargo oleh Suruhanjaya Pengankutan Awam Darat (SPAD) susulan insiden berkenaan.

Arahan penggantungan itu melibatkan laluan Rawang-Salak Selatan.

Semalam, sebuah kereta api kargo 12 gerabak terbalik selepas tergelincir daripada landasan dalam satu kejadian di Kilometer 386.00 di antara laluan Stesen Bank Negara menuju ke Stesen Kuala Lumpur.