Perkhidmatan Polis di Raja Malaysia (PDRM) akan dinaik taraf dengan menggabungkan aspek Kepolisan Moden dengan Kepolisan Komuniti dalam usaha menangani jenayah secara lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan itu penting selaras dengan perkembangan teknologi hari ini bagi memastikan perkhidmatan menyeluruh dapat digunakan pihak berkuasa dalam menjaga ketenteraman awam.

Sehubugan itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pasukan polis akan dibekalkan dengan peralatan moden bagi melancarkan lagi penugasan mereka .

"Selain Kepolisan Komuniti, kita harus ada Kepolisan Moden iaitu pihak PDRM di semua peringakt dibekalkan dengan aset dan peralatan terkini terutama di kawasan hotspot.

"Ini termasuk peralatan seperti 'correcting asset' CCTV berdefinisi tinggi agar perlakuan jenayah dapat diikuiti dan tangkapan dilakukan dalam tempoh paling singkat," katanya selepas merasmikan Program Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, kepolisan berorientasikan masyarakat juga merupakan aspek yang penting bagi membina perhubungan erat dan kerjasama rapat di antara masyarakat dan polis untuk menangani isu jenayah.

Katanya, penurunan kadar jenayah secara tidak langsung akan mampu meningkatkan persepsi masyarakat terhadap anggota polis.

"Kadar jenayah yang mampu diturunkan akan mampu meningkatkan persepsi positif terhadap pihak polis," jelasnya lagi.

Turut hadir di majlis berkenaan, Timbalan Pengerusi MCPF negeri, Profesor Madya P. Sundramoorthy.