Aspek perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam di seluruh negara akan dikaji semula bagi mengatasi kelemahan dan melakukan penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat.

Memetik laporan Bernama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antaranya ialah memperkenal perkhidmatan bas menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar selain menyeragam peraturan perkhidmatan e-hailing agar setara dengan perkhidmatan teksi.

"(Usaha-usaha lain termasuk) membangunkan usaha penambahbaikan industri teksi dan e-hailing serta mengkaji semula perkhidmatan bas sedia ada dalam bandar atau pekan di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Loke berkata tindakan juga diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya seperti melalui penguatkuasaan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi semua kerusi penumpang bas ekspres baharu dan bas persiaran.

"Saya juga telah mengumumkan syarat wajib untuk semua bas dilengkapi sistem brake retarder serta pematuhan untuk memasang speed delimiter dalam bas," katanya.

Loke berkata turut diberi perhatian ialah peruntukan berkaitan kesalahan melanggar peraturan jalan raya agar penalti lebih berat dapat diperkenal sebagai ''deterrence'' kepada pesalah tegar.

Dalam sidang media kemudian, menteri itu berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemandu perkhidmatan e-hailing yang enggan mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) menjelang Julai tahun hadapan.

Beliau berkata kementerian tidak akan bertolak-ansur dalam perkara itu.

"Tiada lanjutan tempoh bagi pemandu perkhidmatan e-hailing mendapatkan PSV. Pemandu yang tidak mendapatkannya menjelang Julai akan dikenakan tindakan," katanya.