Perkhidmatan syarikat jet ski di Pantai Batu Ferringhi terlibat kemalangan maut digantung

Perkhidmatan syarikat jet ski di Pantai Batu Ferringhi terlibat kemalangan maut digantung
Yew memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden berkenaan. -Foto Facebook.com/artsyew
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini menggantung perkhidmatan syarikat Jet Ski, HKM Water Sport susulan kemalangan yang mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kejadian di Pantai Batu Ferringhi, di Pulau Pinang, pada Isnin.

Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang memaklumkan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden berkenaan.

Menurutnya, buat masa ini, operasi syarikat terbabit digantung sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan dan tindakan lanjut pihaknya akan diputuskan selepas siasatan selesai.
"Tindakan lanjut akan diambil selepas beroleh hasil siasatan forensik... gantung aktiviti serta-merta sehingga siasatan polis selesai," kata Yew.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa Jordan Phang Wen Jie, 9 tahun, maut selepas jet ski yang dinaikinya bersama penyelamat pantai bertembung dengan sebuah lagi jet ski yang dipandu ibunya.

Difahamkan, Jordan yang pertama kali mengunjungi Pantai Batu Ferringhi sempena cuti sekolah, maut akibat kecederaan serius pada tulang belakang.