Pembelian insurans sebelum berlepas ke Kathmandu, Nepal untuk mendaki Gunung Everest memudahkan lapan pendaki dari Pertubuhan Kembara Amal (PeKA) menguruskan perjalanan pulang sehingga mereka selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketua kumpulan pendaki berkenaan, Zakaria Talib, 54, seorang pengurus teknologi maklumat berkata, mereka berlepas ke Kathmandu untuk mendaki Gunung Everest pada 18 April.

Ketika gegaran berlaku pada tengahari 25 April mereka berada di sebuah tea house di Labouche pada ketinggian 5,000 meter, katanya lagi.

"Ketika gegaran berlaku kami cuma perlu mendaki setinggi 364 meter atau jarak beberapa kilometer lagi dalam tiga atau empat jam untuk sampai ke Kem Induk Everest.

Gegaran yang berlaku menghalang kami meneruskan pendakian selain jurupandu arah warga Nepal tidak dapat meneruskan khidmat kerana perlu pulang melihat rumah keluarganya yang musnah ekoran gempa," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan MH0115 Malaysia Airlines, hari ini.

Zakaria berkata melihat keadaan tidak menentu ketika itu dengan ramai pendaki yang terkandas dan memikirkan kesesakan di trek ketika turun beliau cuba menghubungi syarikat insurans untuk mendapatkan bantuan.

"Syarikat insurans bersedia menyewa khas sebuah helikopter untuk mengambil kami pada ketinggian tertentu untuk dibawa ke bandar lapangan terbang di kaki Gunung Everest iaitu Lukla.

Namun, pihak berkuasa Nepal tidak membenarkannya atas faktor keselamatan. Kami tidak ada pilihan lain melainkan berjalan turun dengan hati-hati. Dalam perjalanan turun kami melihat ramai pendaki yang cedera," jelas beliau sambil menambah dua hari selepas gegaran barulah kumpulannya sampai di Lukla.

Zakaria berkata dari Lukla, syarikat insurans menguruskan penerbangan kumpulannya ke Kathmandu dan mengatur penginapan mereka di sebuah hotel lima bintang di ibu negara Nepal itu sebelum mendapatkan mereka tiket penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, apa yang berlaku tidak mematahkan semangat beliau untuk mendaki Gunung Everest malah beliau merancang untuk mendaki lagi tahun depan.

Kumpulan pendaki PeKA terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita. Selain Zakaria pendaki lain ialah Jasmi Jantan, Zamri Abdul Ghani dan Shahidan Ibrahim sementara pendaki wanita ialah Satyiana Rosli, Zuraini Abdul Malek, Aminah Ahmad dan Normazlina Abdul Kadir.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) 25 April. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Tragedi gempa bumi berkenaan disifatkan paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun.
Berdasarkan laporan media, sehingga hari ini angka kematian di Nepal mencecah 7,000 orang sementara hampir lebih 15,000 orang cedera.