Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa rakyat Malaysia untuk lebih teliti dalam menyebarkan maklumat daripada internet kerana kesalinghubungan adalah komponen paling penting untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.

Bersempena dengan Hari Keselamatan Siber Sedunia atau Safer Internet Day hari ini, perdana menteri turut menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempromosikan hari itu serta mengekalkan kewaspadaan pada tahap tinggi terhadap pelbagai ancaman siber.

"Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan banyak insiden malang akibat sikap tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat palsu, fitnah dan mengelirukan di internet berkaitan perkara-perkara penting.

"Juga, terdapat banyak mangsa yang masuk dalam perangkap 'sindiket penipuan' di internet dan akhirnya mengalami kerugian kewangan yang banyak," katanya dalam catatan terbaru di akaun Facebook beliau.

Susulan teknologi digital amat penting di masa depan dan akan memberikan Malaysia daya saing dalam landskap global, Najib selanjutnya berkata insiden-insiden yang disebut itu boleh menjejaskan perkembangan sosial dan ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara.

Oleh itu, katanya adalah amat penting untuk rakyat lebih berhati-hati apabila mereka melayari internet, dan perlu lebih berusaha untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

"Jika tidak, sikap kita yang mudah terperdaya akan mendedahkan kita kepada manipulasi oleh pihak-pihak yang suka memfitnah bagi sebab yang salah. Ia membuatkan diri kita mudah dipengaruhi," katanya.

Najib turut memuji inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mewujudkan kesedaran terhadap isu penting itu dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi program "Kesedaran Keselamatan Siber Bagi Setiap Orang" yang berobjektif mendidik orang ramai tentang cara lebih baik untuk memanfaatkan teknologi dalam talian.

"Cari tip tentang bagaimana untuk menggunakan teknologi dalam talian secara lebih selamat, lebih bertanggungjawab di sini www.cybersafe.my/saferinternetday," katanya.

Hari Keselamatan Siber yang disambut di seluruh dunia setiap tahun pada Februari, merupakan tahun kelapan disambut di Malaysia dengan tema 'Be The Change: Unite for a Better Internet'.

-- BERNAMA