Perlu perjuangan mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu di Nusantara - Rais

Perlu perjuangan mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu di Nusantara - Rais
RAIS: Perlu perjuangan mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu di Nusantara - Gambar fail
BANDAR SERI BEGAWAN: Usaha memperkukuhkan bahasa Melayu di Nusantara perlu dipertingkatkan melalui kursus bahasa seperti dilakukan sebelum dan selepas kemerdekaan negara-negara di dunia Melayu, kata Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata di samping itu, kepakaran mengenai bahasa Melayu perlu berada di wilayah Nusantara dan bukannya di Leiden, Belanda dan Hamburg, Jerman atau di negara-negara lain.

Kelas-kelas asuhan bahasa seperti sebelum dan selepas kemerdekaan di negara-negara di Nusantara juga amat wajar dipertimbangkan dan seharusnya semua negara yang bertiangserikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu berusaha gigih berjuang menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu sekalipun bahasa Inggeris telah mendahului dalam hal ini.

"Penggunaan peribahasa, perumpamaan, pepatah-petitih, bahasa indah, persajakan, pantun, seloka, gurindam dan lain-lain harus diambil berat oleh sistem pendidikan masing-masing di samping mengeratkan lagi jaringan antara universiti-universiti di rantau serumpun ini," katanya.
Rais berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bersempena Dialog Bahasa Melayu Nusantara: Integrasi Teknologi dan Bahasa anjuran bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) di UBD di sini pada Rabu.

Turut menjadi ahli panel pada dialog itu ialah Naib Canselor UMT Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, dan Pengarah PusatPendidikan Berterusan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UBD Dr Yabit Alas, sementara pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UBD Pengiran Dr Mohamed Pengiran Damit, selaku moderator.

Dialog itu dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Darussalam Pehin Udana Khatib Datuk Paduka Seri Setia Ustaz Awang Badaruddin Pengarah Datuk Paduka Othman.

Rais turut menegaskan kerjasama peristilahan serantau perlu diperjuangkan kembali, dan dengan kemudahan internet, ia kini lebih mudah diadakan dan dipertingkatkan.

"Kerap kedengaran hujah bahawa bahasa Melayu-bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris sama-sama dimajukan dan elok didengar tetapi realitinya tidak begitu.

"Dalam hal ini kita harus tahniahkan Brunei kerana masih bertulisan jawi. Nama jalan, nama bangunan, nama taman dan lain-lain masih membudayakan bahasa Melayu dan skrip jawi," katanya.

Rais berkata banyak tempat dan resam sekarang di kawasan Nusantara khususnya, nama Melayu pun sudah keciciran kerana kelemahan proses pembudayaan bahasa Melayu.

"Memang, impian kita ialah supaya bahasa Melayu-bahasa Indonesia menjadi bahasa serantau ASEAN atau di peringkat antarabangsa sehingga menjadi salah satu bahasa dunia di PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu), dan yakinilah keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang serba mampu," katanya.