PERMATA ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan layak untuk turut menerima peruntukan dalam Bajet 2015 melalui program pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM711 juta yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak itu turut diagihkan untuk Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan.

PERMATA ditadbir di bawah satu bahagian Jabatan Perdana Menteri yang diketuai Setiausaha Bahagian Jusa C sementara isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merupakan penaung program.

PERMATA merupakan program asuhan dan didikan awal kepada kanak-kanak yang menawarkan pendekatan alternatif dalam bidang asuhan dan didikan awal.

"PERMATA memikirkan pendidikan awal itu bermula seawal umur setahun hingga lima tahun untuk melahirkan generasi yang lebih baik," kata Ahmad kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dengan konsep bahawa setiap kanak-kanak di Malaysia adalah sebutir permata berharga, mereka dibantu untuk meneroka potensi diri mereka secara menyeluruh.

Terdapat enam program di bawah PERMATA - PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Insan, PERMATA Seni, PERMATA Remaja dan PERMATA Kurnia yang bukan hanya memberi manfaat kepada kanak-kanak prasekolah tetapi juga pelajar sekolah.

Lebih daripada 80 pusat PERMATA telah diwujudkan untuk memberikan pendidikan prasekolah di seluruh negara.

Mengulas tuduhan di sebuah portal pembangkang (Keadilan.com) melalui artikel bertajuk 'Subsidi dipotong demi PERMATA Rosmah RM711 juta', Ahmad berkata jelas bahawa Rosmah bukan mendapat keuntungan daripada program ini dan PERMATA bukan milik beliau seperti yang cuba ditohmahkan.

Ahmad berkata sudah dinyatakan secara jelas dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Jumaat lepas bahawa peruntukan RM711 juta itu bukan semata-mata untuk PERMATA.

"Ada beberapa kumpulan yang terlibat (menerima peruntukan) termasuk Kementerian Pendidikan yang ada prasekolah, Tabika Kemas, Tabika Jabatan Perpaduan dan PERMATA," katanya.