Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) akan meneruskan agenda pemerkasaan anak muda melalui inisiatif "mendaya-upaya gerakan belia" di segenap peringkat, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam perutusan bersempena Hari Belia Negara pada Jumaat, beliau berkata selain agenda itu, KBS juga akan memastikan kualiti kesejahteraan hidup warga belia terpelihara dan mengisi hasrat penciptaan peluang pekerjaan.

"KBS memperuntukkan RM8 juta kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah dan Persatuan-Persatuan Belia Kebangsaan, termasuk persatuan seperti Gerakan Belia 4B Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Felda, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

"KBS akan memastikan kualiti kesejahteraan hidup warga belia akan terpelihara, dengan memberikan fokus kepada sembilan bidang keutamaan belia, seperti yang terkandung di dalam Dasar Belia Malaysia (DBM)", katanya.

Menurut beliau, KBS juga akan mengisi hasrat penciptaan peluang pekerjaan, termasuk bidang baharu yang ditakrifkan sebagai "kerja masa depan" dan akan menggunakan sepenuhnya apa sahaja ruang yang ada dalam menentukan isu-isu berkaitan belia dapat ditangani dengan baik dan berkesan.

Reezal Merican berkata KBS telah menggerakkan jaringan kerjasama dengan beberapa buah kementerian bagi memastikan isu seperti pengangguran, agenda memperluas peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula, pewujudan latihan dan dana keusahawanan kepada belia, dapat dijayakan dengan lebih kemas dan bersepadu.

Katanya Malaysia mampu melalui senario pasca-COVID-19 dengan tabah dan cekal serta percaya para belia mempunyai kecerdasan, kepintaran dan ketangkasan untuk berdepan dengan sebarang dugaan.

"Belia Malaysia yang memiliki semangat kesungguhan, iltizam, keyakinan, komitmen dan daya tahan untuk berdepan segala cabaran dan kesusahan akan menzahirkan 'dekad' yang lebih gemilang untuk Malaysia".

Beliau memaklumkan sambutan Hari Belia Negara 2020 (HBN2020) ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun komitmen KBS membantu warga belia di Malaysia tetap diteruskan.

-- BERNAMA