Mengikuti jejak langkah ayahnya, anak kelima mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah; Datuk Mukhriz Mahathir telah mengorak langkah ke hadapan dengan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Kedah semalam.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dengan mengalahkan calon Pas Abd Ghani Ahmad dengan majoriti 2,446 undi.

Mukhriz berjanji untuk mengubah Alor Setar menjadi sebuah bandar metropolitan dan akan mewujudkan hab perindustrian di Jerlun, Padang Terap dan Yan, serta berjanji untuk membela rakyat Kedah.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, telah mengambil alih jawatan MB Kedah daripada penjawat sebelumnya, Dato 'Seri Azizan bin Abdul Razak.

Beliau juga telah memegang pelbagai jawatan dalam beberapa buah syarikat dan organisasi, seperti Opcom Holdings Bhd, Kosmo Tech, Malaysian Franchise Association dan Perdana Peace Global Organisation.

Mukhriz mengahwini Datin Paduka Norzieta Zakaria dan dikurniakan empat cahaya mata.

Pada 2004, beliau telah memenangi jawatan Exco Pemuda Umno dengan meraih jumlah undian tertinggi dan dilantik memegang jawatan tersebut. Beliau juga dilihat sebagai calon yang berpotensi untuk menjadi Naib Ketua Pemuda Umno, tetapi beliau kemudiannya menarik diri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mukhriz telah memenangi kerusi Parlimen Jerlun (P005).

Pada 2009, beliau bertanding sebagai calon Ketua Pemuda Umno selepas penyandang terdahulu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meletakkan jawatan. Bagaimanapun, Mukhriz kalah dalam pertandingan itu dan dimenangi oleh Khairy Jamaluddin.