Syarikat Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melaksanakan inisiatif untuk mengekang pertumbuhan produk tiruan dan alat ganti dalam pasaran.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Zahari Husin berkata syarikat itu menyedari produk dan alat ganti tiruan menggunakan jenama Perodua di pasaran, sebahagiannya hampir tidak boleh dibezakan daripada yang tulen.

Ia termasuk minyak pelincir, penapis minyak, penyerap kejutan dan pad brek, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Ini sangat membimbangkan kerana ia merupakan barangan kritikal. Pelanggan boleh terpedaya untuk membeli dan menggunakan barangan tersebut, yang belum diuji oleh Perodua dalam kenderaan mereka.

"Selain waranti tidak jelas, ia boleh mengancam keselamatan dan keadaan kenderaan mereka," katanya.

Semalam, Perodua, bersama pengedar dan stokis terpilih memberi taklimat kepada 120 pegawai penguatkuasa KPDNHEP mengenai pelbagai produk dan alat ganti Perodua, lokasi jualan, aliran logistik dan kaedah membezakan barangan tulen dan palsu.

Zahari menggesa orang ramai supaya tidak tertipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual barangan tiruan Perodua, hanya membeli dan menggunakan produk serta alat ganti tulen daripada stokis Perodua yang sah atau daripada mana-mana pusat perkhidmatan Perodua sah di seluruh negara.

"Sebagai alternatif, kami mempunyai pelbagai alat ganti ProGanti yang lebih ekonomikal, telah diuji dan diluluskan oleh Perodua," katanya.

-- BERNAMA