Perokok gagal fahami kawasan larangan merokok di tempat makan - Shaani

Perokok gagal fahami kawasan larangan merokok di tempat makan - Shaani
MUHAMMAD SHAANI: Merokok bukan hak, kerana asap rokok memberi ancaman kepada orang lain, jadi mereka harus cari kawasan lain yang sesuai untuk merokok. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Budaya merokok di tempat makan tidak akan dapat diubah dalam masa terdekat walaupun larangannya sudah dikuat kuasakan mulai tengah malam tadi.

Menurut penyelaras Inisiatif Smokefreemy, Muhammad Shaani Abdullah, masih ramai perokok yang tidak memahami kawasan larangan di restoran.

“Beberapa hari lepas, saya tegur orang di kawasan yang ditanda dengan larangan merokok, tetapi alasan mereka merokok kerana mereka berada di kaki lima restoran."

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by AstroAwani (@501awani) on


Menurut Shaani, walaupun undang-undang jelas menyatakan bahawa kaki lima termasuk dalam radius 3 meter kawasan larangan di tempat makan, namun ia tidak difahami dengan mudah.
“Masyarakat masih tidak lagi faham mengenai perincian larangan itu,” ujar Muhammad Shaani ketika ditemu bual dalam program Komen Pagi di Astro AWANI.


“Sebenarnya, larangan merokok di tempat makan bukanlah sesuatu perkara baharu yang dilaksanakan di negara ini,” katanya lagi.

Tambahnya, perokok seharusnya berlaku adil kepada individu di sekeliling mereka kerana terdapat banyak bukti saintifik yang mengaitkan kesan asap rokok yang memberi kesan negatif kepada kesihatan.


 
"Kita banyak bincang pasal hak, tapi perokok tak nak faham hak itu untuk apa?

“Merokok bukan hak, kerana asap rokok memberi ancaman kepada orang lain. Jadi, mereka harus cari kawasan lain yang sesuai untuk merokok,” kata Muhammad Shaani.

Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok.

Larangan itu selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada asap rokok.