Dua perompak mengambil masa kurang lima minit melarikan wang tunai RM17,500 dari sebuah bank di Jalan Setapak, petang tadi.

Dalam kejadian 3.56 petang, dua lelaki yang memakai sarung muka dan jaket itu meluru masuk premis berkenaan dengan memegang objek dipercayai pistol.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek dipercayai menaiki motosikal sebelum masuk ke bank berkenaan.

“Salah seorang suspek tiba-tiba meluru masuk ke premis dengan memegang satu objek seperti pistol. Suspek kemudiannya mengarahkan pekerja bank berkenaan mengambil wang tunai terbabit sebelum melarikan diri,” katanya.

Ketika kejadian terdapat tujuh pekerja yang berada di kawasan kaunter dan dua pelanggan manakala dua pengawal keselamatan berada di bilik belakang.

Kedua-dua pengawal keselamatan tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.