Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini masih erat apabila masyarakat saling menerima antara satu sama lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata ia jelas dapat dilihat pada sambutan perayaan Deepavali hari ini yang turut dihadiri masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan masyarakat Orang Asli.

"Perayaan sambutan Deepavali membawa kecerahan kepada semua penganut agama Hindu di seluruh dunia dan melalui perayaan ini juga kita semua boleh ziarah-menziarahi serta saling memahami adat resam dan agama masing-masing.

"Seperti kita lihat pada hari ini masyarakat berbilang kaum hadir dalam perayaan ini, ia jelas menunjukkan bahawa perpaduan di negara ini sangat erat di mana adanya semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Deepavali Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Kampung Belihoi Minah Ujang, 53, menyifatkan pengalaman menyaksikan kemeriahan sambutan Deepavali adalah sesuatu yang menyeronokkan di samping berpeluang mengenali tradisi budaya kaum lain.

"Saya mewakili masyarakat Orang Asli di kampung saya berasa sangat teruja kerana berpeluang menikmati sajian makanan serta mengenali keunikan budaya kaum lain. Di sini pelbagai kaum ada seperti Melayu, Cina dan India bersama-sama meraikan sambutan Deepavali sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan kaum dan berinteraksi bersama mereka," katanya.

Pekerja swasta, Lee Szepoh, 48, berkata sambutan perayaan itu memberi impak sangat positif dalam perpaduan kerana ia dapat diraikan semua masyarakat selain berpeluang beramah mesra dengan pemimpin.

Pada majlis itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis dan mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah dan persembahan nyanyian serta tarian tradisional masyarakat setiap kaum dan etnik yang ada di negara ini.

Majlis yang bermula pada 12 tengah hari itu, turut meraikan anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya antaranya daripada Rumah Kanak-Kanak Vivekananda Rembau, Pertubuhan Kebajikan Sri Raghavendra dan Pertubuhan Kebajikan Vinashini.

-- BERNAMA