Persatuan belia perlu penjenamaan semula - TPM Ahmad Zahid

Persatuan belia perlu penjenamaan semula - TPM Ahmad Zahid
TPM AHMAD ZAHID: Belia perlu dilihat aktif sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengundi pada PRU14 akan datang.
KUALA LUMPUR: Semua persatuan belia di negara ini perlu menjenamakan semula program dalam persatuan masing-masing selari situasi semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persatuan belia juga diharap tidak 'lemau' dengan aktiviti atau program yang tidak memberi impak besar kepada kemajuan negara.

Jelasnya, ia harus disertai semangat serta sikap kepimpinan belia yang tidak mementingkan diri sendiri.
"Kita tidak mahu belia yang dilabel Gen Y atau Gen Milenia ini tidak relevan dengan mereka. Kita mahu semua relevan dengan generasinya. Kita tidak mahu organisasi belia jadi lemah.

"Persatuan yang tidak relevan seperti bahulu lemau. Apabila lemau tidak ada lagi kebugarannya. Ia harus sentiasa sesuai dengan cita rasa masyarakat hari ini dan belia mendatang," katanya semasa berucap pada perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-38 Gerakan Belia 4B di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Belia 4B, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Zaidi Aziz.

Dalam pada itu kata Datuk Seri Ahmad Zahid, belia perlu dilihat aktif sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Jelasnya, peningkatan pengundi kali pertama daripada sembilan ke 14 peratus kini memberi kesan positif kepada keprihatinan belia sendiri terhadap landskap politik negara.

"Itu sebabnya belia dalam persatuan perlu menarik mereka yang masih jumud dan memberi mereka penerangan bentuk penjenamaan semula dari segi semangat, pengisian program serta keserasian akar umbi.

"Pastikan setiap program disesuaikan dengan citarasa dan minda kumpulan sasaran golongan berkenaan," ujarnya.