Persatuan-persatuan belia diminta menyediakan senarai pemimpin pelapis yang berpotensi sebagai persediaan mengambil alih pucuk pimpinan persatuan pada 2018.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kajian akan dilakukan ke atas setiap persatuan belia bagi meneliti kekuatannya daripada aspek keahlian dan peratusan keahlian di bawah umur 30 tahun.

"Jadi bila tiba 2018, kita sudah menyediakan pemimpin belia yang mampu mengambil alih tampuk kepimpinan. Kita mahu pastikan segala persiapan untuk melaksanakan polisi itu dijayakan.

"Jangan kita umumkan tarikhnya, tapi bila tiba 2018 baru nak tercari-cari pengganti, ia sudah terlewat. Jadi dalam masa dua tahun ini, ia dapat diselesaikan," katanya selepas Persidangan Majlis Perundangan Belia Negara (MPBN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Rabu.

Pada persidangan MPBN itu, sebanyak tujuh usul dibentangkan dan diterima dan seterusnya ia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Draf Dasar Belia Malaysia (DBM) yang akan dibentang awal tahun depan antara lain mengusulkan pindaan takrifan umur belia diturunkan kepada 15 hingga 30 tahun, seiring dengan keperluan semasa belia.

Perubahan daripada had umur asal iaitu 15 hingga 40 tahun itu bertujuan memberi peluang kepada generasi berumur di bawah 30 tahun menerajui pimpinan dan mencorak masa depan sejajar perkembangan transformasi negara.

Mengenasi Sistem Penarafan Bintang pertubuhan belia, Khairy berkata sebanyak 115 pertubuhan belia telah mencapai penarafan empat bintang dan 77 daripadanya layak diberikan lima bintang.

Katanya jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelum ini iaitu sebanyak 66 persatuan belia yang layak menerima penarafan lima bintang.

"Untuk penarafan lima bintang kementerian tidak mengurangkan insentif yang diberikan, jadi setiap persatuan belia yang diberikan penarafan lima bintang akan menerima insentif kewangan," katanya.

Pertubuhan belia yang menerima penarafan lima bintang diberi insentif RM2,000 iaitu insentif berbentuk peruntukan tambahan untuk terus memantapkan persatuan dan menjalankan program.