Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan persatuan penjaja di ibu negara berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai prosedur operasi standard (SOP) pasar malam yang didakwa terlalu ketat.

Jelasnya, kerajaan sedia meminda SOP berkenaan jika ada persetujuan hasil rundingan kedua-dua pihak berkenaan.

"Kita menerima pembentangan DBKL sebab mereka sudah berbincang dengan persatuan penjaja. Apabila mereka bentang kita setuju sebab semasa itu mereka mengadu mereka tidak boleh berniaga. Jadi kalau ada perkara-perkara yang menyusahkan mereka, jadi persatuan boleh jumpa DBKL untuk berbincang dengan perkara mereka tidak setuju," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

DBKL akan membawa perkara dibangkitkan persatuan berkenaan ke dalam perbincangan Mesyuarat Khas yang diadakan.

"DBKL akan bawa balik ke Mesyuarat Khas untuk kita tengok, dan kita akan bincang balik. Kalau DBKL kata perlu pindaan maka akan bawa ke Jawatankuasa Menteri-Menteri, yang ahli mesyuarat itu terdiri dari MKN, KKM. Kalau kita boleh pinda berdasarkan kehendak mereka, kita boleh pinda, namun berunding dulu dengan DBKL sebab DBKL akan bawa ke Mesyuarat Khas," ujar beliau.

Pada Rabu, kira-kira 500 penjaja dan peniaga pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mengambil keputusan mahu menangguhkan operasi perniagaan mereka sepanjang PKPP, susulan SOP yang didakwa terlalu ketat.

Mereka menggesa agar SOP itu dikaji semula kerana dikatakan tidak munasabah untuk dilaksanakan terhadap peniaga pasar malam.