Persatuan atau pertubuhan berdaftar yang melakukan aktiviti yang melangkaui perlembagaan pertubuhan berkenaan atau melanggar undang-undang sedia ada akan dibatalkan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan yang dilakukan RoS itu bertujuan bagi memastikan semua pertubuhan bergerak selaras dengan objektif penubuhan serta perlembagaan.

"Antara tugas RoS ialah menjalankan saringan yang teliti semasa peringkat pemprosesan pendaftaran pertubuhan. Semua persatuan dan pertubuhan tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.

"Justeru, sekiranya terdapat aduan terhadap pertubuhan yang tidak mengikut perlembagaan pertubuhan, maka RoS akan melakukan penyiasatan dan mengambil tindakan pembatalan di bawah Seksyen 13 di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Khairul Azwan Harun mengenai langkah lebih berkesan oleh agensi perundangan untuk mengambil tindakan terhadap persatuan seperti persatuan pengguna yang menjangkau batas perundangan yang dibenarkan.

Ahmad Zahid berkata terdapat 262 buah persatuan pengguna yang telah didaftarkan di bawah RoS sehingga 15 Disember lepas, daripada jumlah itu sebanyak 158 persatuan adalah aktif manakala 104 persatuan pengguna dibatalkan.

Sehubungan itu, beliau berkata mesyuarat penyelarasan peringkat tertinggi akan diadakan pada waktu terdekat ini yang akan dipengerusikan beliau sendiri, bagi menyelaras semua pertubuhan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Fokus utama mesyuarat ini adalah untuk menyelaraskan semua NGO yang berdaftar melalui RoS di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Langkah penyelarasan ini perlu dilakukan segera bagi memantau NGO berkenaan dan sebagai jalan penyelesaian dalam menangani masalah dalam pertubuhan tersebut," katanya.

Ahmad Zahid berkata penyelarasan itu harus dilaksanakan berikutan wujudnya beberapa NGO kononnya memperjuangkan sesuatu isu tetapi sebaliknya menjadi kumpulan pendesak yang tidak mengikut akta pertubuhan masing-masing.

-- BERNAMA