Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu beri justifikasi syor-syor persempadanan semula kepada masyarakat secepat mungkin, memandangkan wujudnya dakwaan cadangan proses itu bakal menjadikan polarisasi kaum di negara ini lebih serius, kata Dr Sivamurugan Pandian.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), SPR juga perlu tunjukkan peranan mereka sebagai badan yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dalam menjalankan proses yang selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan itu.

"Mereka perlu terangkan kepada rakyat kenapa wujud syor-syor seperti itu supaya peranan SPR itu tidak akan diperlekehkan mana-mana pihak, sebaliknya akan dipertahankan semua pihak berkepentingan, termasuk golongan pengundi sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Katanya, proses seperti ini bukan baharu kerana ia berlaku semenjak 1959, setiap lapan tahun sekali.

Namun, katanya, tiada perubahan yang dilihat agak ketara berbanding dengan syor yang dikemukakan pada 2016 ini, hingga menimbulkan dakwaan-dakwaan ia boleh menimbulkan polarisasi kaum, memberi kelebihan kepada pihak tertentu dan sebagainya.

"Saya percaya SPR perlu beri sebab yang rasional, dan ia akan perincikan maksud dan makna kenapa pemindahan daerah itu berlaku, seterusnya boleh menjernihkan pandangan atau dakwaan yang menjurus kepada persoalan polarisasi kaum," katanya lagi.

Pada 19 Okt tahun lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memohon semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Negeri Selangor oleh SPR.

Dalam permohonan itu, Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 sebagai tidak berperlembagaan kerana dilihat tidak selaras dengan Perkara 113(2) dan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan, dan mahukan ianya dibatalkan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 7 Dis lalu, telah menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN yang dijalankan SPR di negeri itu.

Pada 18 Dis lepas pula, Mahkamah Rayuan membenarkan SPR meneruskan inkuiri tempatan di Selangor, kerana sebarang penggantungan kepada proses itu akan mengganggu badan itu menjalankan tugasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai impak kepada landskap politik negara sekiranya persempadanan itu diwartakan, Sivamurugan berkata, kesan besar akan dilihat daripada segi strategi dan logistik parti-parti politik bertanding, bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Namun, beliau lebih khuatir sekiranya pengundi itu sendiri masih belum bersedia, seterusnya akan mengakibatkan sikap tidak peduli pada proses demokrasi itu.

"Adakah pengundi sendiri sudah bersedia, atau akan ada 'absenteeism', kerana merasakan pertukaran ini dilakukan dalam masa yang singkat dan tidak beri peluang kepada mereka untuk rasa selesa dengan perubahan yang berlaku," katanya.