"Kami sedia berhadapan dengan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengheret isu ini ke mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan."

Demikian tegas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berikutan dakwaan kerajaan negeri itu tentang penemuan 'maklumat mengejutkan' tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya Pulau Pinang.

Tambahnya, beliau hanya akan memberi penjelasan di mahkamah sekiranya Kerajaan Pulau Pinang meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap badan itu.

Katanya, SPR tidak akan menghalang sebaliknya melihat perkara itu jalan penyelesaian terbaik.

“Kita ikut dialah. Jalan penyelesaiannya, dia (kerajaan negeri) hendak bawa kes ke mahkamah, maka kita ke mahkamahlah.
“Ini bukanlah pertama kali. Baru-baru ini pun tuan-tuan tengok enam pekara yang dibawa ke mahkamah. Maka, kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan. Kita tak boleh nak halang dia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Program Jom Kita Daftar Undi - Singgah Mesra SPR di Kampung Ruat, dekat Yan, Kedah siang tadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagaimanapun dilaporkan enggan mendedahkan maklumat tersebut.