Laporan Kajian Semula Persempadanan mengenai Syor-Syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Ke-6 Tahun 2018 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam telah diwartakan sebagai undang-undang.

Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya) (Negeri-negeri Tanah Melayu) 2018 yang mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Menurut warta yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, syor-syor yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 6 Mac 2018 itu hendaklah berkuat kuasa dari tarikh perintah tersebut mula berkuat kuasa.

BACA: Kajian semula persempadanan: 98 kawasan Parlimen alami perubahan

Semalam, Parlimen meluluskan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dengan undian 129 menyokong berbanding 80 menentang.

Perkara itu tidak melibatkan sebarang penambahan atau pengurangan jumlah kerusi Parlimen kerana Kerajaan tidak memiliki majoriti dua per tiga jumlah kerusi sedia ada di Dewan Rakyat.