Tutup

Persepsi negatif kerajaan tidak bantu pekebun tidak benar - Pengerusi LPP

Persepsi negatif kerajaan tidak bantu pekebun tidak benar - Pengerusi LPP
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman (empat, kiri) beramah mesra bersama kakitangan LPP negeri selepas mendengar taklimat sempena lawatan kerja ke LPP negeri hari ini. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Persepsi negatif yang mengatakan kerajaan persekutuan tidak melakukan apa-apa dalam menghadapi situasi sukar khususnya kepada golongan pekebun adalah tidak benar, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya sudah merancang pelbagai gerak kerja termasuklah menubuhkan satu 'task force' membabitkan beberapa kementerian bagi menangani perkara itu.
Jelasnya, satu daripadanya adalah mengusahakan Projek Segera Tanaman yang mana hasilnya dikenal pasti boleh dituai dalam tempoh tidak sampai setahun seperti nanas, pisang dan betik.

"Dalam isu ini, pihak LPP dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) diharapkan dapat memainkan peranan selain agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani).
"Sebagai contoh, di Projek Tanaman Nanas Millie Dilard 2 (MD2) bakal dilaksanakan di Felda Sungai Tengi, Selangor bagi menampung pendapatan peneroka yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi sawit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke LPP Kelantan di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, bagi Kelantan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta supaya mengenal pasti beberapa kawasan seperti di Rantau Panjang bagi melaksanakan projek tanaman nanas yang mampu memberi pulangan dalam jangka pendek.

Katanya projek terbabit adalah bagi membolehkan peserta melakukan aktiviti sampingan dan dijangkakan bakal dimulakan tidak kurang tiga bulan dari sekarang.

"Nanas adalah satu tanaman komoditi yang baik dan berupaya dieksport khususnya ke China selain mampu memberikan pulangan yang lumayan.

"Kita akan melaksanakan tanaman ini secara komuniti di kawasan keluasan 2,000 hektar supaya lebih ramai pekebun boleh menyertainya. Kita juga akan pastikan anak benih mencukupi supaya segala projek yang dirancang tidak terhalang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazlan menegaskan bagi Kelantan, walaupun berlainan kerajaan namun kerjasama dan bantuan sentiasa diberikan dan tiada istilah dipinggirkan.

Jelasnya, Kelantan merupakan satu daripada enam negeri yang diberikan tumpuan lebih dalam misi membawa pertumbuhan dalam sektor ekonomi oleh kerajaan persekutuan.