Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2015 dua hari lagi, pelbagai persiapan dan majlis raptai sedang giat diadakan di bandar-bandar utama negara.

Di Dataran Merdeka di sini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut hadir pada majlis raptai penuh yang bermula jam 7.30 pagi.

Menjayakan majlis raptai penuh itu termasuk jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan, badan-badan berkanun dan bukan kerajaan, pelajar-pelajar serta syarikat korporat.

Malah, turut diadakan latihan koordinasi akhir lintas hormat udara di mana Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka akan mencemar duli pada pagi 31 Ogos nanti.

Selain Dataran Merdeka, sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri bakal diadakan di bandar-bandar utama negara seperti Ipoh, Kuantan, Alor Setar dan Johor Bahru serta bandar-bandar lain.

'Sehati Sejiwa' dijadikan tema Hari Kebangsaan tahun ini yang mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

Pada awalnya, Kerajaan Pulau Pinang berhasrat menggunakan temanya sendiri iaitu 'Bersih, Cekap, Amanah' untuk sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri itu.

Namun, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng akhir akur dengan desakan berbagai pihak supaya menggunakan tema yang sama dengan sambutan peringkat kebangsaan.

Penyelarasan tema sambutan peringkat negeri dan kebangsaan itu dibuat seiring dengan semangat Hari Kemerdekaan dan bagi menjaga kewibawaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Guan Eng berkata dengan penarikan tema itu, tidak timbul lagi masalah untuk agensi persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri.