Persiapan akhir warga kota menjelang Aidilfitri

Persiapan akhir warga kota menjelang Aidilfitri
Para pembeli mengambil kesempatan atas jualan murah yang ditawarkan kebanyakan peniaga pada saat-saat akhir sebelum kedatangan bulan Syawal. -Foto fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Hanya berbaki sehari sahaja lagi bagi seluruh umat Islam membuat persiapan penuh menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai sudah mula membanjiri kawasan tumpuan dan lokasi wajib dikunjungi warga kota untuk membuat persiapan akhir.

Para pembeli mengambil kesempatan atas jualan murah yang ditawarkan oleh kebanyakan peniaga pada saat-saat akhir sebelum kedatangan bulan Syawal.
“Saya datang sini nak cari songkok dan butang baju melayu untuk persiapan terakhir, setakat ini semua dah ada.

“Kebiasaannya membeli-belah pada saat hujung-hujung seperti ini orang cakap murah, dan setakat ini apa yang saya pantau harga barangan memang murah berbanding pada awal puasa,” kata Mohd Hapiz Mohd Salleh yang bertugas sebagai kerani.

“Awal-awal sebelum berpuasa sebelum ini, harga memang mahal. Tetapi sekarang ini peniaga banyak menawarkan harga runtuh sebanyak 70 peratus diskaun,” kata Pegawai Perkhidmatan Teknologi, Mohd Faiz Anuar.

Seorang lagi warga kota yang turut berbelanja pada saat akhir menegaskan bahawa membuat perbandingan harga adalah sangat penting untuk membuat penjimatan.

“Setiap tahun, harga akan menjadi murah beberapa hari sebelum raya. Ia adalah masa yang paling tepat untuk membeli-belah kerana kita boleh membuat perbandingan harga menerusi internet.

“Contohnya, jika ada rakaman atau gambar jualan murah yang tular di sosial media, saya akan pergi,” kata guru, Shobihah Md Radzi.

Sementara itu, rata-rata peniaga dilihat mula menawarkan promosi harga rendah bagi menghabiskan stok jualan mereka.