Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Rakyat ke-14 ditangguhkan selepas 20 hari bersidang.

Sebelum menangguhkan mesyuarat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, persidangan kali ini beliau sifatkan sebagai sangat bersejarah kerana peralihan kuasa yang berlaku buat kali pertama di negara ini berjalan dalam keadaan penuh aman dan harmoni.

"Ini membuktikan kematangan ahli Parlimen dalam mengurus kepelbagaian yang wujud dalam negara ini. Ahli Yang Berhormat, saya sebagai Tuan Yang Dipertua dan mewakili kedua timbalan saya, ingin merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat dapat disempurnakan dalam tempoh 20 hari ini," katanya.

Mohamad Ariff menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, pegawai Parlimen, wakil media serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian majlis mesyuarat dewan kali ini.

Persidangan kali ini memulakan mesyuarat pertamanya pada 16 Julai lepas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu dengan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya.

Sebelum PRU14, kali terakhir Dewan Rakyat bersidang pada 5 April lepas, sebelum ia dibubarkan pada 7 April untuk memberi laluan kepada PRU14 diadakan.

Menurut takwim Dewan Rakyat dalam laman web mesyuarat, persidangan akan datang dijangka diadakan dari 15 Okt hingga 11 Dis. -- Bernama